Ahad, 28 Mac 2010

BERWAKAF SAHAM AKHIRAT




KEJARLAH PELUANG BERWAKAF

Saya sebagai Nazir Masjid Jamek At-Taqwa menguruskan sebuah kompleks yang bengunannya berusia hampir 50 tahun. Ia kelihatan uzur dan memerlukan perubahan. Namun perubahan memerlukan sumber kewangan yang kukuh. Maka dengan itu saya mengharapkan bantuan tuan-puan untuk membangunkan kompleks masjid yang baru dengan kaedah pengumpulan sumber wakaf. Sekiranya seseorang sanggup menyumbangkan RM10 dan saya mencari seramai 400 000 orang, Insya Allah, sejumlah RM4 juta akan terkumpul. Sekiranya seseorang sanggup menyumbangkan RM100 dan saya mencari seramai 40 000 orang, Insya Allah, sejumlah RM4 juta juga akan berjaya dikumpulkan. Oleh itu besar harapa saya agar;

1. Tuan puan sudi menjadi antara penyumbangnya yang semoga dengan keikhlasan tuan puan ia akan dikira sebagai satu wakaf yang kekal pahala amal jariahnya selama bangunan masjid dan kompleks sekitarnya berfungsi.

2. Tuan puan sudi menyambungkan iklan ini kepada peti mel kenalan yang lain, semoga usaha tuan puan juga akan dikira sebagai amal jariah kerana keikhlasan berbuat demikian.

Oleh yang demikian, saya dengan besar hati dan dengan penuh harapan, mengharapkan sumbangan tuan-puan untuk membangunkan kompleks ini. Saya juga mengharapkan sumbangan tuan-puan untuk mengedarkan mel elektronik kepada kenalan tuan-puan yang lain. Semoga usaha tuan-puan membantu saya mengedarkan risalah ini akan dikira sebagai amal khair oleh Allah dan diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya.

Kompleks masjid yang saya maksudkan ialah menyediakan sebuah masjid yang lengkap dengan segala kemudahan dalam sebuah bangunan dan mempunyai rangkaian bangunan-bangunan lain di sekitarnya. Antaranya ialah:

1. Bangunan masjid yang lengkap dengan dewan solat, bilik persiapan imam dan muazzin, dewan solat muslimat, setor penyenggaraan masjid, setor kelengkapan, serambi wudhuk, bilik siaraya dan audio visual, bilik persinggahan janazah, bilik arkib dan beberapa bilik lagi.

2. Bangunan sayap kanan yang lengkap dengan tandas dan bilik mandi lelaki, bilik pengurusan janazah dan tanah perkuburan, bilik pengurusan jamuan dan dapur, setor penyenggaraan kawasan masjid, bilik tetamu.

3. Bangunan sayap kiri yang lengkap dengan tandas dan bilik mandi perempuan, setor penyenggaraan tandas dan bilik permainan kanak-kanak.

4. Komplek penempatan pegawai masjid iaitu Nazir, Imam, Muazzin dan Siak.

5. Kemudahan lain.

Nombor akaun wakaf masjid ini

MASJID JAMEK AT-TAQWA (WAKAF) : 1208 3010 0225 09 BIMB

www.mjtstkdtjkrgsel.blogspot.com


Sekarang ini masjid itu masih bangunan lama lagi.

28 MAC 2010 = 12 RABI UL AKHIR 1431
MOHD ASMAWI AHMAD SAMIDI

PETANG TADI 5.00 PETANG. Majlis Tilawah Al-Qur'an anjuran Mukim Tanjong Karang 2 telah berlangsung dengan Masjid Jamek At-Taqwa sebagai tuanrumah program tersebut.

Rabu, 24 Mac 2010

MENCARI SAUDARA YANG TIDAK PERNAH DITEMUI

Ada siapa-siapa yang tinggal di Desa Mantren, Karangrejo yang mengenali keluarga bapa saya. Bapa saya di sini dikenali dengan nama Ahmad Samidi bin Karso Dimejo. Dalam alamat terakhirnya dia berasal dari Desa Mantren, Karangrejo. Yang saya tahu dia ada saudara perempuan bernama Wijem, tetapi saya tidak mengenali yang lain. Kalau mungkin ada di kalangan sepupu-sepupu saya yang mengenali bapa saya. Tolong hubungi saya di emel asmawisugih@gmail.com atau BAPA1964A@YAHOO.COM. saya teringin sangat mengetahui sajarah bapa saya dan saudara saya sebelah sana. Tolong saya kerana Allah.

Isnin, 22 Mac 2010

PENGISIAN SELEPAS UPSR

Saban tahun ibubapa yang anaknya berada di tahun 6 akan berdebar menanti tarikh peperiksaan UPSR. Siang malam berfikir dan berdoa semoga anaknya akan mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut.

Begitu juga dengan guru di sekolah, pentadbir dan siapa sahaja yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan.

Namun suatu perkara yang agak menyedihkan ialah suasana selepas UPSR. Sebaik sahaja UPSR berakhir murid tahun 6 telah diulit dengan rasa merdeka, guru diulit dengan rasa penuh kelegaan. Masing-masing tidak tentu arah. Ada setengah sekolah cuba mengisi kekosongan itu dengan pelbagai aktiviti. Namun kebanyakannya gagal untuk menarik murid tahun 6 hadir penuh ke sekolah selepas UPSR.

Ditambah bila sang anak berkata kepada ibubapanya yang di sekolah sudah tidak ada aktiviti melainkan sukan dan acara kemahiran hidup, kuiz dan sebagainya.

Saya berpendapat, komen mereka ada benarnya. Marilah kita membayangkan biasanya kemudahan sesuatu unit di sekolah hanya untuk dikongsi oleh murid seramai 50 orang sahaja maksima dalam satu masa. Ia hanya mencukupi untuk perjalanan sebuah bilik darjah berkapasiti penuh. Tiba-tiba selepas UPSR murid akan dikerah ke padang beramai-ramai yang setengahnya sehingga mencapai 300 orang. Mereka akan dikerah ke bilik kemahiran hidup untuk program SRT. Sehari kemudian dikerah ke dewan untuk aktiviti kuiz yang hanya melibatkan beberapa peserta sahaja. Sudah tentu menjadi kebosanan kepada mereka yang hanya menjadi penonton dan pendengar.

Jika komen mereka diambil kira, mengapa tidak kita laksanakan pendidikan secara umum ketika ini. Kita tukar suasana, kumpulkan mereka di dewan dan ajar kepada mereka secara umum. Satu hari mungkin boleh diajarkan 3 tajuk utama. Banyak perkara boleh diajar, Keremajaan, Hal Ehwal Wanita, Adab pergaulan, Adab bermasyarakat, Protokol, Hari-hari kebesaran islam, Cerita-cerita sejarah, cerita dongeng, cerita rakyat, dan banyak lagi. Hal agama pun tidak mencukupi harinya.

Pada masa yang sama jika satu program lain hendak dijalankan, seperti sukan dan sebagainya. Ia tidak perlu melibatkan semua murid, cukuplah mereka yang menyertai sama ada sebagai pemain, pengadil, pengurus dan sebagainya. Yang lain biarlah terus menghadapi 'pensyarahnya' untuk meneruskan pelajaran dalam dewan kuliah. Tidak bermakna mengheret semuanya ke padang sedangkan kawalan tidak dapat dibuat. Kita juga harus menyedari setiap murid mempunyai kecenderungan dan potensi yang berbeza. Tidak semuanya berminat dalam acara sukan.

Itulah pandangan saya.

Sabtu, 6 Mac 2010

KELUARGA BAHAGIA - SATU PANDANGAN

Satu mata pelajaran yang dikhususkan di sekolah ialah bab kekeluargaan, dan pendidikan anak. Seperti juga haji, jika sekadar belajar dalam bilik darjah dan terus melangkah ke Makkah mungkin kita akan menjadi orang yang tertanya-tanya dan terpinga-pinga. Maka sebab itu seseorang yang akan menunaikan haji akan diberi kursus khas haji secara bersiri.

Persoalannya, mengapa tidak ada sistem tersebut bagi yang hendak berkahwin atau yang telah berkahwin?. Apakah tidak boleh dilaksanakan, jika tidak boleh mengapa dan jika boleh bagaimana?

Bagi saya, saya berkeyakinan ia sebenarnya boleh, bukankan undang-undang kita yang buat dan kita juga boleh mansuhkan juga pada bila-bila masa jika keadaan dirasai tidak sesuai. Kita telah lihat berapa banyak undang-undang dan peraturan telah dicipta dan dimansuhkan begitu sahaja. Bahkan setengahnya memperjudikan masa depan anak-anak kita yang sedang belajar pun.

Oleh itu saya beranggapan ia boleh dibuat. Umpamanya kita mensyaratkan tempoh pertunangan hingga kepada kelahiran anak mesti setahun. Ini bermakna tempoh pertunangan paling pendek ialah tiga bulan. Pasangan ini dalam tempoh itu mesti hadir secara tetap ke satu kursus khas yang dinamakan kursus kekeluargaan islam. Sukatan pelajarannnya dibahagi kepada 4 bahagian, Fardhu Ain yang mensyaratkan menghafaz dan amali perkara asas, Nikah Kahwin yang berkait dengan hukum-hukum perkahwinan, Keluarga Bahagia yang membincangkan tentang perhubungan suami isteri dan pergaulan yang dikehendakki oleh Islam, dan Pendidikan Anak yang menekankan cara menanamkan benih yang baik hingga kepada anak itu dewasa.

Selama dalam tempoh itu, jika telah bernikahpun mesti hadir. Jika telah bernikah kita beri persaksian sementara (merah) yang tidak laku di hospital atau dipendaftaran. Berpakatlah dengan mereka sijil kelahiran tidak akan dikeluarkan sehingga persaksian nikah yang asal (biru) dikeluarkan. Kalau dalam hal lain kita boleh paksa, mengapa untuk membentuk keluarga bahagia kita berdolak dalih. Banyak perkara yang kita lihat dibuat secara paksa sama ada secara sivil atau politik. Contohnya, hendak ambil periksa mesti bayar dulu, tidak bayar tidak boleh ambil periksa. Hendak ambil road-tax mesti ambil insuran. Hendak buka kedai jahit dan mendapatkan pinjaman dari satu agensi kena kursus jahitan dulu. Ini semua untuk kebaikan. Dan persyaratan tentang kekeluargaan islam juga bertujuan kebaikan.

Ada yang bimbang memungkinkan ramai yang berkahwin di Thailand, saya ulas balik, undang-undang kita yang buat. Kalau berkahwin di Thailand sekalipun silakan, tapi bila daftar dalam negara, hendak ambil persaksian, sila kursus dulu, kalau tidak persaksian merah, dah kursus baru persaksian biru atau hijau atau kuning atau oren ke.

Bagaimana Tuan Kadhi dengan pendapat saya,
Bagaimana Dato Mufti,

Semoga jika pandangan ini diterima dan pelaksanaan dibuat maka selepas ini akan lahirlah keluarga bahagia dan menyusutlah jumlah anak-anak yang teraniaya kerana diberi makan yang haram, pakaian yang haram, dan tempat tinggal yang haram.




Insan

Rabu, 3 Mac 2010

PROGRAM MOTIVASI

SRA Sungai Tengi Kanan akan mengadakan motivasi kepada murid tahun 6 beserta ibubapa khasnya dan secara umum menjemput ibubapa bersama anak-anak yang berada di persekitaran Masjid Jamek At-Taqwa. Program tersebut akan berjalan pada hari Jumaat Malam Sabtu 19 haribulan 3 Tahun 2010. Program adalah terbuka dan percuma. Dijemput untuk anda menghadirinya.

Bagi pihak masjid mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang telah menyumbang kepada akaun Masjid Jamek At-Taqwa (Wakaf). Mereka ada yang menyumbang sebanyak RM3,000.00, RM1000.00, RM650.00, RM500.00, RM100.00, dan 2 orang setakat ini menyumbang RM10.00 tiap seorang. Akaun kini telah mencapai angka RM6,000.00.

Adalah diharapkan lebih ramai lagi yang akan menyumbang dan diharap dengan sumber tersebut kami akan berjaya membangunkan Kompleks Islam bagi Daerah Kuala Selangor di Kampong Sungai Tengi Kanan Darat.

Kami berharap dapat mengumpulkan sejumlah RM5,000,000.00 atau lebih dalam masa yang terdekat. Akaun kami di Bank Islam dengan Nombor siri akaun 1208 3010 0225 09